Saturday, January 12, 2013

Menangani Stress Dalam Islam


DALAM kehidupan moden ini, stres menjadi pelengkap hidup. Banyak masalah dan sedikit penyelesaian yang diketahui. Orang yang kurang kuat imannya, dapat melakukan bunuh diri. Orang yang kuat iman, tapi terlalu yakin untuk mencapai sesuatu, mungkin akan mengalami stroke. Seorang doktor neorologi berkata, sekalipun tekanan darah tinggi, insya Allah tidak akan stroke, selama mana orangnya, tidak stres. Bermaksud stres pemangkin utama lahirnya stroke yang banyak melanda manusia pada hari ini.

Stres yang datang pada diri seseorang, banyak puncanya. Mahasiswa yang tidak lulus ujian akhir, akan mendapat stres. Orang tua yang mengurus anaknya untuk mendapatkan sekolah yang baik, mendapat stres. Pejabat yang terlalu sibuk, pekerjanya akan mendapat stres. Rakyat miskin yang sukar mendapat makanan, akan mendapat stres. Calon pilihan raya yang mengeluarkan jutaan ringgit untuk pemilihan, akan mendapat stres, jika suara yang diharapkan, tidak seperti yang diramalkan, akan stres. Kesimpulannya, semua golongan dalam masyarakat akan berpeluang mendapat stres, baik laki-laki mahupun perempuan.

Bagaimana mencegah stress?Menurut doktor neorologi, perasaan stress sering menjadi musuh dalam selimut. Perasaan ini datang tiba-tiba dan sukar untuk dikendalikan. Apabila tidak ditangani akan menjadi pemangkin timbulnya berbagai-bagai-bagai penyakit seperti jantung, darah tinggi dan stroke. Ibarat menyediakan payung sebelum hujan, menghindari stress ada baiknya dilakukan mengikut cara berikut:

Pertama, mengeluarkan energi positif, iaitu optimis dalam menghadapi setiap permasalahan. Jangan terlalu keras terhadap diri sendiri. Jangan membebankan diri anda. Ketahuilah bahawa setiap usaha yang dilakukan akan ada kekangan dan hambatan Tapi ada juga solusi atau penyelesaiannya. Sebab itu, harus bersikap lebih fleksibel, supaya kita dapat menikmati hidup.

Kedua, menjaga kesihatan. Dengan cara bersukan dan senaman yang teratur, tidur yang mencukupi dan mengambil makanan yang berzat dan seimbang. Bersukan mungkin dapat membuat manusia berasa nyaman. Makanan berzat mampu membangkitkan kualiti hidup. Sebab itu Islam memerintahkan “ mengambil makanan yang halalan toiyibban atau halal, suci lagi berkhasiat.
.
Ketiga, banyak minum air masak, terutama pada ketika sedang marah.. Air dapat menenangkan perasaan, dan menjadikan fikiran lebih jernih. Rasulullah menganjurkan kalau marah, hendaklah berwuduk dan mendinginkan badan dengan air atau tanah.

Keempat, meluangkan sedikit waktu pada setiap minggu untuk keluar dari kerja-kerja rutin. Berkumpul bersama-sama ahli keluarga, atau menziarahi teman-teman. Nabi mengajarkan supaya kita menghubungkan silaturahim, sebabnya dapat menambahkan rezeki dan memanjangkan umur (HR.Muslim).

Kelima, meningkatkan unsur-unsur humor dan ketawa. Secara klinikal humor dapat mengatasi stress. Membaca cerita-cerita lucu, berkongsi cerita lucu dengan kawan-kawan, menonton atau mendengar cerita lawak selama 5-10 minit dapat membawa suasana santai dan relaks.
Menurut Al-Quran ?.Menurut Al-Quran, kelima cara yang ditawarkan oleh bidang kesihatan di atas, tidak ada yang bertentangan dengan Al-Quran. . Namun Al-Quran lebih memfokuskan terutama kepada dua hal utama iaitu Al-Quran sebagai Syifa’ (Penawar) :

Sabar :Jika stress menghadapi masalah yang sukar diputuskan “ salah atau benarnya sesuatu “ maka Al-Quran memberi petunjuk “ FA SHABRUN JAMIL “ ( Maka bersabar itu lebih indah ). Dan hanya kepada Allah tempat memohon pertolongan. (QS. Yusuf 18 ).

Ucapan itu disampaikan oleh Nabi Yaa’kub, ketika anak-anaknya datang membawa kemeja yang berlumuran darah kepunyaan Yusuf, sebagai bukti bahawa ia telah diterkam binatang buas. Oleh sebab stress, karena darahnya meragukan, Nabi Yaa’kub berkata “ Sabar itu lebih indah.” Demikian juga Maryam, ketika dituduh melacur karena melahirkan anak (Isa) tanpa ayah, juga bersabar untuk mengubati stres yang berpanjangan. Bahkan Aisyah, isteri Rasul, ketika difitnah, juga menjadikan sabar sebagai pengubatan dalam stressnya.

Zikrullah:Mengingati Allah (Zikrullah) juga termasuk dapat cara mengatasi stres. Dengan mengingat dan mengembalikan segalanya dari dan untuk Allah, maka stres akan dapat diatasi. . Sesuai dengan Al-Quran, “ TATHMAINN AL-QULUB “ ( Mengingat Allah, hati akan tenang ) ( QS. Al-Raad 28 ).

Menurut ulama Tafsir, termasuk dalam Zikrullah; adalah melakukan solat, membaca Al-Quran dan secara langsung menyebut lailaha ilallah sebanyak-banyaknya.

Hujah ini diperkukuh oleh Al-Quran dengan ayat “ Dan carilah pertolongan, dengan berlaku sabar dan mengerjakan solat ( QS.2: 45).

Menurut Huzaifah, apabila Nabi bersedih atau menghadapi masalah, beliau terus melakukan solat, sekalipun sedang dalam perjalanan. Memperbanyak Zikrullah sama seperti solat sunat, atau membaca Al-Quran, atau istighfar, atau membaca lailaha Ilallah.

Istighfar yang sering dibaca Rasul “ Allahumma Anta rabbi. Lailaha illa Anta. Khalaqtani waana abduKa. Wa ana ala ahdiKa. Wa wa’diKa mastata’tu. Audzu biKa, min syarri ma shana’tu. Abuu laKa bini’ mati alayya. Waabuu bidzanbi. Fagfirli. fainnahu la yagfir al- dzunuba illa Anta.( Al-Azkar :347 ).

Di samping sabar dan zikrullah, stres juga dapat diatasi dengan akidah yang meyakini kebenaran ayat Al-Quran yang berbunyi “ INNA MA’AL USRI YUSRA ( Sesungguhnya setelah kesulitan, ada kemudahan. Setelah kesulitan, ada kemudahan).. ( 94: 5-6 ).( Disebutkan dua kali ).

Menurut ulama Tafsir, karena kata kesulitan (Al-usri ), menggunakan “al ” dan kemudahan (Yusra) tidak menggunakan “al “ , itu bermakna kesulitan itu cuma satu macam, tapi ada beberapa jalan kemudahan. Bermakna dua alternatif kemudahan untuk satu kesulitan. Ada dua. Misalnya untuk mendapatkan kesembuhan dan untuk rawatan lahir dan batin ialah dengan menggunakan petunjuk Al-Quran sebagai Syifa’.
. .

Rumusannya, huraian ringkas di atas dapat difahami bahawa Al-Quran boleh mengatasi stres di samping berusaha pula mencari rawatan lahir dan batin. Selain itu meyakini bahawa kesempurnaan itu milik Allah dan kekurangan itu milik manusia. Maka kaifiatnya banyak bersabar, solat, istighfar dan zikir.

Praktik Rasul SAW dalam mencari kesegaran dan menghilangkan stres, antaranya dianjurkan kepada umatnya berpuasa dan mencampuri isteri dua kali seminggu.
Sekian, maklumat ini untuk kita yang sering dilanda stres kehidupan duniawi.

Sunday, December 30, 2012


Sekolah Pandai vs Sekolah Biasa-biasa

Dua hari lagi sekolah akan dibuka sejak murid-murid dan para cikgu bercuti sekian lamanya (bestnye jadi cikgu). Pada yang malas nak belajar, inilah hari yang paling tak best sekali, nak-nak sekolah sesi pagi. Rasanya tilam tempat pembaringan tu ada macam magnet ajaib yang tak bagi empunya badan bangun. Bangun-bangun, rebah. Bangun-bangun rebah lagi. Dah sampai sekolah pula, cikgu berbuih mengajar di depan, fikiran dah ke lain. Entahlah, mungkinkah agaknya sistem pendidikan di sekolah agak membosankan hingga ramai murid dan pelajar sekolah rasa tak termotivasi nak belajar sungguh-sungguh? Walau pun tak semua, tapi kebanyakkan pelajar yang bijak dan pandai dalam pelajaran jadi cemerlang disebabkan atas kesedaran diri masing-masing. Adakah sistem pendidikan di sekolah yang menyedarkan golongan-golongan yang cemerlang ini ataupun mereka jadi cemerlang atas inisiatif sendiri? Persoalan ini saya tinggalkan untuk anda semua jawab sebab saya nak cerita mengenai bab lain sebenarnya, hehee.. Tapi, walaupun lain, namun masih ada relevannya. Ia mengenai, perbezaan antara dua darjat diantara SEKOLAH PANDAI dan SEKOLAH BIASA-BIASA..
Kita biasa dengar sekolah pandai. Sekolah-sekolah ini biasanya sekolah berasrama penuh seperti SBP, MRSM dll dan sekolah biasa  adalahn sekolah harian  biasa je, sekolah-sekolah yang biasanya bila keluar result PMR atau SPM tu memang majoriti pelajarnya cemerlang. Ringkas kata, sekolah ini GRED A lah. Sekolah yang jenis satu lagi ni tidak lah secemerlang dan sebagus sekolah GRED A tadi. Ada sekolah yang GRED B, ada sekolah yang GRED C dan ada juga sekolah yang CAP AYAM je (oh, manakah silapnya).. Prestasi sekolah macam ini, biasanya ada pasang surut. Kejap OK, kejap tak berapa nak OK. Kadang-kadang, boleh KO. Tak macam sekolah GRED A yang biasanya konsisten dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang setiap tahun. Jadi, apa yang saya cuba bangkitkan disini adalah, benarkah, betulkah, pelajar-pelajar cemerlang yang dihasilkan oleh sekolah GRED A ini benar-benar terhasil dari sistem asuhan dan pendidikan sekolah yang SUPER POWER? Ataupun mereka ini adalah pelajar yang memang sedia ada cemerlang dan bijak lalu diambil, dididik dan diasuh di sekolah GRED A tersebut?
Jika anda faham maksud saya, sekolah-sekolah GRED A biasanya menetapkan syarat yang ketat untuk mana-mana pelajar yang ingin belajar di sekolah mereka. Syaratnya macam biasalah, result periksa kenalah gempak. Setakat PMR 4 A belum tentu boleh masuk sebab yang dapat 8 A pun ramai. Pendek kata, sekolah GRED A biasanya hanya mengambil budak-budak yang pandai, bijak dan ber IQ tinggi saja untuk belajar disekolah mereka. Pelajar-pelajar yang ‘kurang bijak’ yang tidak bernasib baik akhirnya bersekolah di sekolah GRED B, C, D dan sekolah CAP AYAM. Jadi isunya di sini:
  1. Wajarkah sekolah-sekolah GRED A tersebut rasa BANGGA dengan kejayaan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang yang pada hakikatnya mereka ini memang golongan ‘budak-budak bijak’. Mungkin pelajar ini pun boleh cemerlang kalau mereka ini belajar di sekolah CAP AYAM sekalipun.
  2. Adakah sistem pendidikan di sekolah benar-benar berjaya membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang? Di mana kayu ukurnya? Sekolah-sekolah STAR atau GRED A ini tidak boleh dijadikan penanda aras bagi keberkesanan sistem pendidikan di sekolah kerana mereka mereka mendidik pelajar-pelajar pandai untuk menjadi pandai.
  3. Mampukah sekolah GRED A ini, jika diberi peluang untuk mendidik, mengasuh lalu menjadikan pelajar-pelajar berprestasi rendah di sekolah CAP AYAM sebagai pelajar yang cemerlang, yang bukan saja berprestasi tinggi dalam pembelajaran, tetapi juga dalam aspek moral? Jika benar sistem mereka bagus berbanding sekolah biasa-biasa, mereka pasti mampu.
  4. Wujudnya diskriminasi dalam sektor pendidikan. Pelajar pintar terus terbela manakala pelajar yang berprestasi rendah dipandang sebelah mata. Pelajar yang cemerlang, dibela, diasuh dengan sungguh-sungguh, pelajar yang kurang cemerlang, berprestasi rendah dibiarkan saja. Terlalu sedikit yang prihatin kepada nasib mereka. Sepatutnya, pelajar yang ‘kurang pintar’ inilah yang harus diberi perhatian yang lebih tinggi.
  5. Sekolah-sekolah GRED A nampaknya tidak begitu ‘ikhlas’ dalam mendidik anak bangsa kerana dalam satu sudut, mereka lebih mementingkan penjagaan satus  STAR sekolah mereka. Sebab itulah mereka tapis betul-betul sesiapa yang mahu belajar di sekolah mereka.
Sebenarnya banyak lagi isu yang boleh dikorek keluar dari perbincangan ini. Namun cukuplah dengan senarai di atas bagi merangsang pemikiran anda. Walau apa pun, ini hanyalah pendapat peribadi saya. Mungkin saja terdapat kelemahan disana sini. Dari itu saya memohon kemaafan jika tulisan saya ini menyinggung pihak-pihak tertentu.

Sebelum  saya mengundur diri cuba renungi situasi yang berlaku:
Kes 1
Pelajar ni trial UPSR 2A sahaja, tetapi peperiksaan sebenar 5A dan diterima masuk ke sebuah
MRSM, bila belajar 3 tahun di MRSM keluar result PMR 7A 1C.

Kes 2
Pelajar ni setelah dapat UPSR 5A, meneruskan pembelajaran di SBPI, setelah 3 tahun di SBPI
keluar result PMR 6A 2B 1D.

Kes 3
Pelajar ni dapat 4A 1B UPSR, setelah memohon ke byk sekolah pandai tapi tak di terima, meneruskan persekolahan di sekolah biasa, selepas 3 tahun keluar result PMR 8A.

Kes 4
Pelajar ini setelah mendapat 9A PMR di sekolah Agama Bantuan Kerajaan, telah meneruskan
persekolahan di SBT, tengok result peperiksaan akhir tahun menyamai standard kelas kedua disekolah harian biasa.....
Kepada pendidik di SBT.....buatlah yang terbaik...allah akan membalas kebaikan yang kita sumbangkan..

Friday, December 28, 2012

Tahniah Kepada Pelajar PMR MTNP 2012


Tahniah kepada semua pelajar PMR Maahad 
Tahfiz negeri Pahang yang dapat mengekal kecemerlangan dgn GPS 1.01 terbaik di Negeri Pahang

Strategi Add Math 2013


Lima strategi  untuk Addmath  2013 anda.

MANTAPKAN SEMUA TAJUK FORM 4

Anda sepatutnya mengambil peluang cuti selama hampir dua bulan dengan menguasai semua tajuk-tajuk tingkatan empat dengan apa cara sekalipun, samada dengan menghadiri tuisyen, berbincang dengan kawan-kawan yang telah menguasai, atau bertanya kepada abang dan kakak yang baru saja selesai SPM.Dan yang paling penting buat latihan secara istiqomah. Biar anda rasakan ada tarikan untuk membuat latihan add math seperti tarikan kepada fb.Satu hari tak tengok fb terasa tak sudah begitu juga dengan add math tak buat latihan add math maksudnya ada perkara yang belum selesai.

BERSEDIA DARI AWAL.
Anda dah dapat Buku Teks lebih awal. Bagi pelajar-pelajar T5, anda sudah boleh belajar tajuk Janjang. Baca dahulu buku Teks kat rumah. Mustahil anda tak faham sedikit pun. Bila dah baca, dah faham, buatlah latihan.  

Pelajar-pelajar T3 yang nak masuk T4 Sains tahun depan, eloklah beli Buku Rujukan Addmath awal-awal. Biar ada semangat sikit. Kemudian baca tajuk Fungsi sampai faham. Tajuk tu mudah jer. Cikgu tak ajar pun, anda boleh faham.

Strategi ini juga anda boleh applikasi sebelum P&P dalam kelas. Maksudnya, sebelum cikgu mengajar dalam kelas, anda dah baca tajuk atau subtajuk berkenaan. Kalau anda boleh amal kaedah ini, insyaallah anda akan jadi hebat Addmath.

MEMPUNYAI TEMAN ATAU PEMBANTU
Belajar Addmath tak boleh “lone ranger”. Anda mesti ada teman belajar. Atau lebih popular lagi, disebut study group. Memang kena ada. Kalau tak ada, susah sikit nak faham. Kalau tak faham, tentu masalah besar kan.

Bangsa Cina mempunyai study group yang agak konsisten. Ini budaya mereka. Main bersama, belajar bersama, bincang bersama & makan bersama. Masa berbincang hal pelajaran, mereka berdebat sakan. Kadang-kadang jadi bising. Tak apa. Banyak akal lebih baik daripada satu akal.

Kan Nabi Muhamad S.A.W dah menunjukkan kepada kita bahawa dalam peristiwa hijrah, banyak akal itu perlu dalam menjayakan sesuatu. Kalau baginda nak guna buraq untuk terbang dari Mekah ke Yathrib, Tuhan tentu makbulkan. Tetapi baginda memilih cara biasa untuk menjadi pedoman kita.   

Jadi banyakkanlah kaedah perbincangan, bengkel, study group, perkongsian pintar dan sebagainya. Ingat, jangan sesekali menggunakan kaedah “lone ranger” dalam Addmath. Bahaya.  

MERANCANG DENGAN TELITI
Semasa saya SPM dahulu, saya selalu buat senarai penting untuk keperluan Addmath saya. Kebiasaannya, saya mesti ada beberapa biji Buku Log, rough book, pakej alat tulis yang lengkap,  buku rujukan  dan sebagainya untuk keperluan drilling (latihtubi) saya. Memang saya belajar giler2 & buat latihan giler2.  Saya suruh ayah saya beli Buku Log yang besar & berkulit tebal, khusus untuk Addmath saya.

Habis semua latihan dalam Buku Teks saya buat. Begitu juga latihan Addmath dalam Buku rujukan saya. Semua saya sapu licin. Bila dah habis semuanya, saya suruh ayah saya beli Buku Log lagi. Kemudian saya ulangi lagi. Tak tersisa  satu pun latihan. Sebab itu, saya terkilan kalau tengok pelajar-pelajar sekarang malas belajar & malas buat latihan Addmath. Hang nak jadi apa? Hang nak noreh getah? Hang nak kandaq tahit? 

Pelajar-pelajar zaman sekarang suka guna fail. Ok juga cara tu. Mereka ada system latihan sendiri. Baguslah.

MENGGUNA PELBAGAI CARA
Saya sangat suka kalau pelajar-pelajar Addmath pergi belajar di pelbagai Pusat Tuisyen. Konsep saya, kalau ramai guru, lagi baik pengetahuannya. Itu tandanya dia sangat mencintai ilmu. Orang yang mencintai ilmu, biasanya akan berjaya.

Guru-guru yang lain tentu mempunyai teknik yang lain dalam P&P mereka. Sangat bagus kalau pelajar boleh menguasai pelbagai teknik selain yang saya ajar. Pelajar Addmath tak boleh statik Mereka mesti aggresif & bijak menguasai keadaan.

 Pergilah menuntut ilmu, cari ilmu, korek ilmu. Habis duit pun tak apa.


OLAHAN dan sumber : cgzain.blog.

Sedang present utk qualifyng master dari 9.15_10.00 pg. alhamdulillah lulus. Dengan pembaikian.Pada kolokium Biofeedback di UMP
Photo: Sedang present utk qualifyng master dari 9.15_10.00 pg. alhamdulillah lulus. Dengan pembaikian.

Friday, December 21, 2012

Mengajar Tuisyen Add Math

Assalamualaikum, semua. Lama sungguh cikgu tak menulis di blog cikgu ni, maklum la sibuk buat penulisan dan persediaan defend master cikgu, tapi sikit ada kelapangan kawan-kawan ada minta tolong ganti mengajar tuisyen. So hari cikgu mengajar tajuk pembezaan. Rata-rata pelajar yang cikgu ajar hari dari pelajar berasrama, ada dari KISAS, SBPI, SMAP, SMKAA dan beberapa sekolah elit lain.Bila cikgu mengajar cikgu buat penekanan kepada konsep asas pembezaan sahaja. tu pun nampak majoriti masih tak menguasai. Setelah nampak ada faham sikit baru la cikgu masuk ,petua hasil darab, petua hasil bahagi, persamaan tangen dan normal serta maksimum dan minimum...Banyakkan latihan wahai anak2 ku...

Friday, December 7, 2012


DESTINASI ANDA SELEPAS SPM 2012
Kebanyakan pelajar lepasan SPM masih tercari-cari hala tuju masing-masing. Sukar untuk membuat keputusan tepat yang bakal menentukan masa depan sendiri. Di sini apa kata anda baca sedikit mengenai pilihan kerjaya anda selepas SPM.
1. Universiti
Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bolehlah memilih universiti sebagai destinasi mereka selepas SPM. Jika anda ingin ke universiti, anda harus memohon UPU lepasan SPM/setaraf sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana IPTA di Malaysia.
2. Kolej Matrikulasi
Sekiranya anda gagal mendapat program asasi melalui UPU, janganlah bersedih. Anda masih boleh membuat program foundation atau pengajian asas di matrikulasi dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Sama saja dengan asasi. Selepas matrik, boleh apply UPU lagi untuk lepasan STPM/setaraf di mana anda akan memilih course untuk pengajian ijazah anda. Matrik ada yang programnya setahun dan ada yang dua tahun bergantung kepada keputusan SPM anda.
3. Luar Negara
Pelajar-pelajar yang mendapat biasiswa akan melanjutkan pelajaran di luar negara. UK, US, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan pelajar-pelajar Malaysia.
4. Politeknik dan apa jua Program Teknikal dan Latihan.
Jangan berputus asa sekiranya anda gagal UPU dan matrik. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran di politeknik-politeknik seluruh Malaysia. Bila dah dapat result SPM, mohon cepat-cepat sebelum tutup tarikh permohonan. Dipoliteknik, anda boleh mohon sijil atau diploma. Dengar-dengar ada 3 politeknik yang bakal dinaik taraf menjadi universiti. Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) antara politeknik yang bagus dari segi akademiknya. Banyak juga program yang ditawarkan di ILP dan ILJTM, MLPK dan sebagainya.
5. Kolej-kolej
Kalau beli newspaper sekarang ni, banyak iklan-iklan kolej swasta. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus. Kalau nak sangat masuk kolej, saya rekemenkan anda masuk kolej-kolej yang ada nama sikit seperti Kolej Mahsa atauMasterskill. Nanti masuk kolej yang tak diiktiraf MQA (dahulunya LAN), susah nak dapat kerja. Saya syorkan anda mohon medical courses seperti Farmasi, Teknologi Makmal Perubatan dan Sains Kesihatan sebab banyak peluang pekerjaan menanti anda diluar sana. Ada juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan IPTA-IPTA di Malaysia. Contohnya di Kolej Shahputra ada ditawarkan program diploma UiTM. Anda juga boleh mohon Kolej Komuniti. Buatlah pilihan yang bijak.
6. Tingkatan 6 (Pra-Universiti)
Ramai pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Bila masuk tingkatan 6, rasa macam budak-budak sekolah lagi kan? Kena pakai uniform sekolah, kena pergi ke sekolah, ada perhimpunan dan sebagainya. Tak macam di universiti, matrikulasi atau kolej yang ada sedikit kelonggaran. Tapi sedar tak sedar, STPM juga berharga sebenarnya. Kalau mohon UPU untuk STPM/setaraf, pelajar-pelajar lepasan STPM diberi keutamaan dulu berbanding pelajar-pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.
7. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Ramai yang tidak tahu kewujudan website SPA dan ada juga yang tak tahu langsung pasal SPA ini. SPA ni boleh anda mohon kerja-kerja tertentu seperti jururawat, juru x-ray, juruaudit, juruukur dan sebagainya. Jika permohonan anda berjaya, anda akan ditemuduga. Lulus temuduga barulah anda akan ditawarkan melanjutkan pengajian di kolej-kolej kejururawatan. Untuk kerja selain jururawat, saya tak berapa pasti.
8. ALAM
Sesiapa yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan yang lebih mencabar, bolehlah mohon Akademi Laut Malaysia (ALAM).
9. Kursus Ketenteraan
Bagi sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan ini. Terdapat banyak caranya dan anda boleh rujuk di laman web atau buku panduan kerjaya yang TERKINI yang berdekatan dengan anda.
10. Kursus Penerbangan
Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini.Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugari dan pramugara ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.
11. IPG
Bagi mereka yang berminat menceburi bidang perguruan bolehlah memohon kerjaya ini. Kerjaya ini sememangnya menjanjikan kepuasan kerana kita dapat berbakti kepada anak bangsa kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.
Akhir Kata
Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat kelak.
Selain itu, tanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam. Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah.
Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.
Konklusinya, berikut yang telah diterangkan adalah beberapa destinasi yang pelajar Lepasan SPM 2012 boleh pilih. Banyak lagi sebenarnya tetapi ini pun sudah mencukupi untuk merangkumkan segalanya. Saya doakan anda berjaya kelak!!
Ingin mendapatkan Rujukan Informasi Kerjaya Lepasan SPM yang terkini?
Dapatkan rujukannya di LEPASAN SPM