Thursday, June 23, 2011

Adakah Anda Takut Dengan Subjek Add Math

Jadi anda nak ambil Add Math


Jadi anda nak ambil Add Math

Anda dianggap sebagai salah seorang pelajar yang pandai Math dalam kelas. Anda pernah membelek koleksi soalan-soalan Add Math dan tertarik dengan cara pengiraannya. Dan sekarang, jauh dari sudut kecil di hati, anda fikir Add Math adalah satu subjek yang menarik untuk dipelajari. Hey, anda boleh tambah lagi satu A+ dalam result SPM nanti! Mengharumkan nama sekolah, atau tunjuk hebat di depan saudara mara dari sekolah Sains! Ya, macam idea menarik!

Jadi anda pun menuju ke Perpustakaan Atau Kedai Buku, membeli beberapa buah buku seperti “Siri Analisis Cemerlang Matematik Tambahan” dan “Skor A Matematik Tambahan Dengan Lebih 2000 Contoh Soalan”. Lagipun, anda telah menghafal beberapa formula dalam Add Math. Sambil kagum dengan kebolehan sendiri, anda mula fikir: “Mungkin satu hari nanti aku boleh menjadi pelajar cemerlang dalam subjek Add Math! Betul, tak?”

SALAH.

Saya tak kira berapa banyak soalan Math pun telah anda buat, berapa orang kawan telah anda bantu, atau berapa banyak buku rujukan telah anda baca, anda masih belum kenal Add Math. Jangan mudah tertipu dengan nasihat abang-abang untuk ambil Add Math. Bukan itu sahaja, menguasai subjek ini langsung TIDAK menyeronokkan dan tidak munasabah. Pengasas simbol “infiniti” contohnya, sering bercakap sendirian dan dipercayai mengalami penyakit ilusi. Anda faham maksud saya.

Kenapa Pelajar Takut add Math?.

SEBAB PERTAMA: Add Math terlalu payah

Ini memang sangat jelas. Bukan sahaja amat payah, malahan Add Math adalah antara subjek yang paling memeningkan kepala. Dengan 21 topik yang berasingan (tiada satu pun yang masuk akal), ribuan teori yang langsung tidak berguna, formula dan rumus yang mengelirukan, Add Math sebenarnya boleh dikategorikan antara subjek yang membahayakan kesihatan. Mari kita kaji secara lebih mendalam tentang beberapa topik asas dalam Add Math.

Komponen Algebra adalah komponen yang paling banyak diterapkan dalam Add Math. Malahan hampir setiap soalan dalam Add Math menggunakan taktik algebra untuk mengelirukan anda. Add Math memperkenalkan teori-teori baru yang merupakan lanjutan dari Modern Math tetapi amat berlainan. Sebagai contoh, dalam tajuk Fungsi, y dikenali dengan simbol f(x), dan boleh digubah, disongsang, dikacuk, dan dievolusikan kepada fungsi baru yang lebih berbahaya.

Dalam Persamaan Serentak, pemboleh ubah x dan y disamakan dalam dua persamaan: linear dan kuadratik. Ini bermakna anda perlu menyelesaikan persamaan kuadratik terlebih dahulu, baru gantikan nilai-nilai dalam persamaan linear. Jika anda ikuti semua langkah dengan betul, maka anda akan memperoleh EMPAT jawapan bagi soalan tersebut. Tetapi jika nasib anda tak berapa baik, anda berkemungkinan akan berakhir dengan LAPAN jawapan yang berbeza dari jawapan sebenar.

Indeks pula memperkenalkan simbol baru, LOG, yang mana merupakan lawan bagi indeks, dan mempunyai hukum-hukum yang berbeza tapi lebih mengancam nyawa. Simbol ini dianggap sebagai pembawa migrain bagi kebanyakan pelajar, dan jika anda tidak dapat menjawab soalan LOG, itu perkara biasa saja. Anda pun terus “LOG gitu jah” dan “buat loLOG tok tahu” (LOGhat Kelantan bermaksud “biarkan sahaja” dan “berpura-pura tak tahu”).

Kalkulus pula adalah topik yang paling menakutkan dalam Add Math. Pembezaan mengemukakan teori had (dengan tiada motif munasabah), dan ’secara ajaibnya’ dapat menukarkan persamaan garis lengkung kepada persamaan kecerunan. Pengamiran pula adalah lawan bagi pembezaan dan secara ajaibnya pula dapat menukarkan persamaan garis lengkung kepada persamaan luas. Kebanyakan pelajar mengelak tajuk kalkulus, kerana ia boleh ‘mencerunkan muka dan meluaskan mulut yang ternganga’.

Percaya atau tidak, ini baru saja permulaan.

SEBAB KEDUA: Kertas peperiksaan

Kertas peperiksaan Add Math sebagaimana kata sesetengah pelajar adalah “mencabar”, yang mana bermaksud “memeningkan” dan dalam keadaan tertentu kita boleh kata “+18SG”. Penggubal soalan gemar menggunakan ‘taktik serangan algebra’ dalam membuat soalan, dan adakalanya menggabungkan dua atau lebih topik dalam Add Math.

Lembaga Peperiksaan Malaysia memperkenalkan Format Pentaksiran dalam Add Math bermula pada tahun 2003. Format ini tidak jauh bezanya dari format lama, cuma satu perkara nampak ketara: Dwibahasa. Setiap soalan diulang pada muka surat sebelahnya dengan Bahasa Ibunda Bahasa Ingeris. Ia terbahagi kepada dua kertas, dan anda jangan harap nak tembak kerana dalam Add Math TIADA soalan objektif. Bukan itu sahaja, soalan dalam Kertas 2 adalah terlalu rumit sehingga jalan kira bagi SATU soalan boleh memenuhi SELURUH muka surat.

Untuk memburukkan lagi keadaan, Lembaga telah mengubahsuai graf keputusan Add Math supaya para calon ‘lebih mudah’ untuk mendapat A1 tapi juga lebih mudah untuk gagal. Jadi anda boleh meramal keputusan Add Math berdasarkan kebolehan anda untuk menjawab. Jika anda boleh menjawab semuanya, anda boleh digolongkan dalam ‘kategori selamat’. Tapi jika anda rasa anda boleh jawab ‘cukup-cukup makan’ saja, katakan saja anda gagal.

SEBAB KETIGA: Rakan-rakan sekelas

Seolah-seolah belajar Add Math sama macam goreng kacang, kelas Add Math lebih cenderung untuk menarik minat jenis-jenis pelajar yang selalu membuatkan anda mahu mati dengan segera. Terdapat tiga kategori utama pelajar kelas Add Math yang boleh anda temui: Taksub, Serba Tahu, dan Rusa Masuk Kampung.

Pelajar kategori Taksub adalah yang paling banyak dijumpai, dan yang paling menyerabutkan. Biasanya pelajar jenis ini boleh dikenalpasti dengan tanda-tanda berikut: mereka selalu buat latihan, bergantung 100% kepada kalkulator dan lampiran jawapan, mereka-reka jalan kira sendiri, dan biasanya gagal dalam peperiksaan. Mereka tidak puas menjawab satu-satu soalan sehingga mendapat jawapan tepat, dan jika tidak, mereka akan merujuk kepada anda (kadang-kadang tergamak mengejutkan anda pada pukul 3 pagi), dan jika anda juga tidak dapat jawab, maka mereka berjaya membuktikan bahawa anda tidak jauh berbeza dari segi IQ.

Pelajar Serba Tahu tidak kurang juga kerenahnya. Anda biasanya boleh melihat beberapa tanda amaran untuk mengenalpasti pelajar jenis ini sebelum terlambat: pantang mengalah, suka buat lawak bodoh, suka menyampuk, suka tanya anda soalan yang bukan-bukan seolah-olah dia tahu dan anda tidak tahu, dan biasanya gagal. Mereka suka tunjuk kebolehan sendiri (satu contoh popular: menguji kebodohan anda dengan soalan payah sehingga anda mengalah, kemudian menjawab soalan tersebut dengan tepat dan selambanya di depan anda), dan banyak lagi fiil yang anda tidak mahu ambil kisah.

Rusa Masuk Kampung pula adalah jenis pelajar yang ambil Add Math sama ada kerana a) bunyinya menyeronokkan, b) mereka ingat ia amat mudah, atau c) ingin mencantikkan slip keputusan SPM. Mereka langsung buat tidak kisah dan hanya membaca pada malam peperiksaan. Pelajar jenis ini mula gugup sebaik sahaja kelas bermula, kerana apa yang ada dalam kepala otak mereka ialah masa depan mereka akan hancur tak lama lagi. Lebih baik anda jangan beri mereka peluang untuk meniru anda dalam peperiksaan, kerana jika tidak, mereka akan terus membazirkan masa dan tenaga anda dari mula peperiksaan hingga masa tamat dan menghancurkan hidup anda pula.

Walaupun ramai calon Add Math di luar sana adalah pelajar yang bijak dan rajin, tiada satu pun yang akan berada dalam kelas anda.

Kesimpulan

Jika anda berjaya mengharungi semua kepayahan, kertas peperiksaan, dan melayani rakan-rakan anda, anda mungkin akan menyedari Add Math adalah subjek yang amat seronok untuk dipelajari. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang boleh jamin, kerana setakat ini belum pernah ada pun yang sampai ke tahap itu. Tapi, saya pasti anda ‘lain dari yang lain’.

P/S: Artikel ini, walaupun dipenuhi fakta-fakta benar, adalah gurauan semata-mata, dan tidak ada kaitan dengan mana-mana calon Add Math. Saya sendiri ambil Add Math, dan walaupun saya telah bersusah payah menguasainya, saya tetap suka Add Math, dan saya fikir tak salah kalau anda ingin mencubanya.

Bersedialah untuk hidup terseksa.

SELAMAT BELAJAR!!!

Sebahagian daripada siri: Rencana dari orang yang fobia add math

No comments:

Post a Comment