Mencari Doktor Dakwah yg hakiki
Bertemu doktor-doktor perubatan mithali sepanjang di Jalan Dakwah ini banyak memberi semangat juang kepada saya. Ada professor patologi yang saya berbicara dengannya tentang Dakwah dan isu umat ini hingga jam 4 pagi tanpa dia merasa jemu. Tak mengapa kerana masa tersebut adalah untuk Dakwah, katanya bila saya meminta maaf kerana ziarah yang panjang. Ada doktor yang sepenuh masa menyelia gudang Bantuan Kemanusiaan (Human Relief) di celah-celah timbunan guni dan kotak dengan penuh tekun, kini dia dipersada yang sama di arena antarabangsa. Ada doktor perunding urologi yang menjadi salah seorang guru dan penunjuk utama saya dalam Dakwah ini. Ini belum lagi doktor-doktor yang tidak pernah saya temui tetapi kisah perjuangan Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, Dr Ahmad Al-Malt dll yang mencurah seluruh jiwa raga, masa, harta dan nyawa untuk Dakwah ini sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir meredhai dan diredhai Allah swt saya tatapi dengan penuh tekun dan membara. Sungguh ruh Dakwah ini mampu mencipta banyak keajaiban yang tak dapat digambarkan oleh manusia yang lalai.
Seperti posting lalu, pendakwah hakiki ialah mereka yang berjaya melaksanakan fardhu ain dalam menyeru manusia kembali kepada Allah swt. Mujaddid pula adalah orang yang menghidupkan aspek Islam yang sangat diperlukan pada ketika itu seperti Khalifah Umar Abd Aziz (99H) dalam membaiki kehidupan khalifah dizaman banyak aduan tentang gaya hidup khlifah-khalifah sebelum beliau dan Imam Syafie (199H) dalam mengasaskan Usul Fiqh dizaman Islam berkembang ke pelusuk dunia dan sangat memerlukan panduan dan asas dalam mengeluarkan hukum hakam baru. Oleh itu Doktor Dakwah yang hakiki pada zaman umat Islam jahil dan ditindas hari ini adalah doktor yang berperanan seterusnya memimpin perubahan dalam jiwa masyarakat sehingga melayakkan mereka kembali bangkit membimbing dan memimpin orang ramai kepada keagungan Islam, berdepan dengan musuh-musuhnya diseluruh dunia. Seorang doktor boleh memainkan peranan tersebut kerana :
- Mudah menasihat dan mendidik masyarakat disebabkan kedudukannya yang dihormati.
- Memberi identiti yang cantik kepada badan dan organisasi yang disertainya, apatah lagi yang dipimpinnya.
- Boleh memberi sumbangan fikiran, terutama setelah melalui pengalaman luas dan bacaan yang banyak kerana mereka memiliki kecerdikan yang tinggi.
- Memelihara kesihatan umat dan ini penting untuk mereka berperanan memajukan agama dan negara disamping berjihad dan berdakwah kepada umat yang lain.
- Berdepan dengan dakyah sesat yang lain yang banyak masuk melalui khidmat kesihatan dan kebajikan.
Setelah melalui sedikit pengalaman dan membuat pengamatan, beberapa perkara perlu disedari agar kita memiliki seramai mungkin Doktor Dakwah yang hakiki, dengan mereka dapat membantu membangkitkan kembali umat ini dari lena lalu membawa mereka kearah keagungan global. Diantaranya :
- Seperti karier-karier lain yang berbagai, karier sebagai doktor adalah fardhu kifayah dan sekali-kali janganlah karier itu melupakan tuannya terhadap fardhu ain iaitu Dakwah di Jalan Allah.
- Tempoh sebagai mahasiswa adalah kritikal dalam melahirkan Pendakwah yang hakiki. Hanya mahasiswa yang berjaya dididik meletakkan Dakwah lebih utama dari segalanya yang mampu menjadi Pendakwah yang hakiki dihari tua. Sebaliknya bebanan pelajaran mahasiswa perubatan adalah besar, menjadikan usaha menanam hakikat diatas seringkali sukar. Kebiasaannya, seorang yang lebih mementingkan pelajarannya dizaman mahasiswa akan lebih mementingkan kariernya dizaman bekerja. Sebaiknya dia tekun dan hebat di dalam Dakwah sambil cemerlang di dalam pelajaran.
- Kerjaya sebagai seorang doktor juga berat dan menyibukkan. Kerjaya lain banyak beinteraksi dengan dokumen dan angka di paparan yang mudah dikendali masa dan keadaannya, sedang doktor mesti berinteraksi secara langsung dengan orang ramai yang seringkali tidak mengira masa, keadaan dan tempat. Ini ditambahan lagi dengan tawaran habuan wang ringgit yang tinggi menjadikan usaha menanam ke dalam jiwa akan hakikat Dakwah sebagai fardhu ain dan lebih utama dari segalanya seringkali tercabar. Pengalaman dan kejadian banyak terbentang di depan mata hingga ke hari ini. Kata ahli Dakwah bermaksud, “Agama ini tidak akan memberi sebahagian kemajuannya kepada kita, melainkan setelah kita memberi segala apa yang ada kepada kita untuknya berupa tenaga, masa, wang ringgit, jiwa dan raga”.
- Setinggi mana pangkat, seluas dan sebesar mana tanggungjawab terhadap kesihatan orang ramai, seorang doktor wanita tidak boleh mengabaikan tugas asasi mendidik anak-anaknya hingga berjaya menjadi Pendakwah yang hakiki. Mendidik anak memerlukan fokus, masa, perancangan dan kesabaran. Jangan sekali-kali karier tinggi melangit tetapi tugas Dakwah entah kemana, anak-anak terbiar keIslamannya lagi menyedihkan, fardhu kifayah dikejar, fardhu ain diabaikan.
No comments:
Post a Comment