Thursday, July 7, 2011

Rakyat Malaysia Kelima Terbaik di Dunia | Pertandingan Matematik Sedunia

Malaysia cipta hatrik juarai Pertandingan Matematik Sedunia


MUHYIDDIN Yassin memegang piala bersama Freida Mohd. Pilus dan pelajar Sekolah Cempaka bersama piala juara Pertandingan Matematik Sedunia ketika meraikan kejayaan mereka di pejabatnya di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 5 Julai - Seramai 20 pelajar Sekolah Cempaka di ibu negara mencatat sejarah dalam bidang matematik apabila berjaya mencipta hatrik menjuarai Pertandingan Matematik Sedunia yang berlangsung secara online dari 3 hingga 5 Mac lalu.

Pasukan itu yang diwakili sepenuhnya pelajar tempatan berjaya membuktikan kejaguhan bersaing di pentas antarabangsa apabila menewaskan lebih 1.2 juta pelajar yang mewakili 22,785 sekolah dari 212 negara.

Sekolah Cempaka sebelum ini menjuarai pertandingan itu pada 2009 dan 2010.

Kejayaan itu membolehkan pasukan tersebut menerima trofi pertandingan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis khas meraikan kejayaan para pelajar itu di pejabatnya di sini hari ini.

Pelajar sekolah itu, Edwin See Jun Hong, 16, menyifatkan kejayaan itu sangat bermakna kerana sebagai penyandang juara pada tahun sebelumnya, tekanan tinggi terpaksa dipikul supaya mengekalkan kejuaraan.

"Persaingan kali ini sangat hebat terutama daripada pelajar-pelajar Pakistan, Australia dan Turki tetapi kami berjaya mengatasi mereka dengan beberapa pasukan sekolah kami menduduki enam tempat teratas dalam pertandingan itu," katanya ketika ditemui.

Turut hadir pengasas Sekolah Cempaka, Datuk Freida Mohd. Pilus. Sekolah berkenaan terletak di dua lokasi masing-masing di Cheras dan Damansara.

Pertandingan Matematik Sedunia dianjurkan oleh sebuah syarikat di Australia, 3P Learning Pty. Ltd. dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Ia dipertandingkan secara online dengan peserta diminta menjawab soalan matematik yang diberikan secara pantas dan tepat dalam masa seminit.

Jun Hong yang menduduki tempat kelima keseluruhan pertandingan itu mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada para guru matematik sekolahnya yang bertungkus-lumus dan bersengkang mata membuat persiapan terbaik untuk peserta terlibat.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua terutama guru-guru sekolah kerana mencipta teknik berkesan supaya kami semua berjaya menjawab soalan matematik dengan mudah, tepat dan pantas," katanya.

Sementara itu, Freida berkata, kejayaan tersebut telah membuka mata banyak negara terhadap kejayaan Malaysia melahirkan para pelajar berbakat dalam bidang matematik.

"Secara tiba-tiba nama Malaysia menjadi tumpuan semua pihak dan mereka mula bertanya di mana letaknya Malaysia kerana pencapaian menjuarainya kali ketiga berturut-turut sangat hebat," katanya.




No comments:

Post a Comment