Friday, July 1, 2011

Teladani Semua Pelajar Cemerlang

TELADANI PELAJAR CEMERLANG

Nur Amalina binti Che Bakri, pelajar cemerlang SPM 2004 yang mendapat 17 A1 mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Farmakologi (serentak) di University Of Edinburgh, Scotland.

Menurut Nur Amalina, beliau belajar dan mengulang kaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program realiti televisyen seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi kepada beliau. Beliau sentiasa melayari intenet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri daripada pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat.

Beliau pernah menyertai 50 pertandingan seperti sayembara puisi dan lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah, bersajak dan pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 serta Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.

Pengajarannya: Melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum membantu pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Siti Fatimah binti Mukhtar, pelajar cemerlang SPM 2006 yang mendapat 17 A1 dan 1 A2 menceritakan rahsia kejayaannya seperti berikut:

1. Solat hajat setiap malam 3 bulan sebelum peperiksaan.

2. Menghafal al-Quran (17 Juzuk).

3. Tumpuan penuh semasa guru mengajar.

4. Tusyen subjek susah (Fizik dan Matematik Tambahan).

5. Berusaha, baru berserah kepada Allah.


Rutin harian Siti Fatimah bermula seawal 4.30 @ 5.00 pagi. Satu waktu yang amat payah bagi kebanyakan kita untuk membuka mata, tetapi tidak bagi remaja cemerlang ini. Harinya dimulai dengan solat tahajud, solat taubat dan solat hajat. Hiburan baginya adalah dengan membaca @ mendengar ayat-ayat suci al-Qur'an. Dia amat menjaga batas-batas pergaulannya dengan lelaki bukan muhrim. Dia amat cintakan ilmu pengetahuan. Dia mempunyai bakat kepimpinan. Menonton televisyen hanya sekejap sebelum maghrib. "Setiap hari saya mengulang kaji pelajaran dan selebihnya saya menghafal al-Quran," kata Siti Fatimah.

Pengajarannya: Lebih banyak kita membuat amalan yang baik, semakin kurang kita berpeluang melakukan amalan yang tidak baik.

Di celah-celah kejayaan cemerlang pelajar wanita, Azali bin Azlan telah berjaya mencapai 20 1A dan 1 2A dalam SPM 2007. Resipi kejayaannya, beliau berpegang kepada pendirian sabar dalam menghadapi segala dugaan kerana yakin setiap kesusahan akan ada kesenangan. Azali Azlan percaya kesabaran dan ketekunan belajar menjadi kunci kepada kejayaannya memperoleh keputusan 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan itu. Menurutnya, sikap tersebut terbukti berjaya membina kekuatan dalaman dalam dirinya bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang. Beliau tidak pernah mengikuti tusyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tusyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan. Beliau juga belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di sekolah. Azali memberitahu, dia tidak mempunyai jadual belajar yang lengkap seperti sesetengah pelajar lain kerana kalau ada jadual beliau akan berasa tertekan untuk mengikutinya. Sebaliknya beliau belajar apabila beliau rasa ada semangat untuk belajar. ‘‘Tetapi semangat itu kita sendiri yang kena merangsangnya selalu,” kata Azali.

Pengajarannya: Lelaki memang hebat, memang dasyat kalau buat kerja bersungguh-sungguh, bukan main-main!

Nur Madihah binti Nik Mohd. Kamal cuba menyaingi kejayaan Azali bin Azlan. Alhamdulillah, beliau mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan 1 A2 dalam SPM 2008. Hidupnya tanpa peralatan yang canggih dan kemudahan yang sempurna. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasibnya ke tahap yang lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa. Kejayaan Nik Nur Madihah ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana terlalu sempit dan uzur. Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar Nik Nur Madihah sekeluarga. Bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari. “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan dalam keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan. Tetapi Alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun,” kata Mariani Omar, ibu Nik Nur Madihah.

Pengajarannya: Kemiskinan bukan penghalang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

No comments:

Post a Comment