Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.[10]
Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional ini menggunakan kepakaran 53 pakar bahasa dan melibatkan tujuh universiti awam dibuat pada Jun hingga Disember 2008. Antara universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.[11]
Kos kajian adalah sebanyak RM470,000, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel bagi kajian yang dijalankan selama tujuh bulan.
Antara hasil kajian juga mendapati PPSMI:
- menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
- PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
Hasil kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003. Laporan eksekutif kajian ini diedarkan buat pertama kali kepada umum di Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) di Kuala Lumpur pada 18 Mac 2009.
No comments:
Post a Comment