Saturday, May 19, 2012

Cabaran Sebagai Guru Cemerlang


Pendidik Berwibawa Tingkatkan Mutu
Antara tanggung jawab dan harapan disandarkan kepada pendidik berjawatan Guru Cemerlang adalah
 menerajui peningkatan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), melonjak kecemerlangan
 sekolah menerusi perkongsian pengalaman dan kemahiran serta membangunkan modal insan holistik di kalangan
 pelajar.
Justeru, tidak hairan Guru Cemerlang dikaitkan sebagai jawatan yang menagih pengorbanan, keikhlasan,
 tanggungjawab dan komitmen tinggi hingga ada kalangan pendidik enggan memohon kerana tidak
 sanggup memikul amanah yang perlu dilaksanakan seiring pemilikan status itu.


Namun bagi pendidik yang bersemangat memajukan diri dalam kerjaya, kewajipan sebagai Guru Cemerlang
 dilaksanakan sebaiknya lantas memberi kepuasan diri apatah lagi dengan insentif peluang menikmati
 kenaikan pangkat kepada gred tinggi secara pantas tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau
 bertukar kepada jawatan pentadbiran.


Guru Cemerlang subjek Biologi di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra,
 Pengkalan Chepa, Kelantan, Mazinah Muda, berkata beliau berperanan sebagai Ketua Panitia Biologi
dan dipertanggungjawab merancang kegiatan meningkatkan prestasi mata pelajaran itu mengikut
 sasaran sekolah.


Katanya, antara inovasi P&P yang diperkenalkan adalah menghasilkan Modul Bio-Score bagi
pelajar Tingkatan Empat dan Lima serta menjalankan kajian tindakan iaitu penyelidikan isu dalam dalam bilik darjah.


“Walaupun berjaya meraih jawatan Guru Cemerlang, saya tetap menjalin hubungan baik sesama
 guru lain, membantu membuat perancangan P&P serta melaksanakan kegiatan panitia Biolog
i bersama rakan,” katanya.


Guru Cemerlang subjek Matematik Tambahan di sekolah sama, Zakiah Zaid, berkata modul P&P
 yang dihasilkannya bukan saja digunakan di SMS Tengku Muhammad Faris Petra, malah sekolah lain di negeri itu.


“Saya bukan saja dijadikan pakar rujuk bagi mata pelajaran kepakaran saya iaitu Matematik dan
 Matematik Tambahan di peringkat sekolah, malah oleh Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan
 Pelajaran Negeri,” katanya.


Guru Cemerlang subjek Fizik, SMS Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang,
Abdul Wahid Basar, berkata beliau tidak teragak-agak memohon jawatan itu kerana percaya ia
 adalah peluang terbaik baginya meningkatkan tahap profesionalisme kerjaya sebagai pendidik.


Katanya, antara kelebihan menyandang jawatan itu adalah pelajar dan ibu bapa lebih yakin dengan
pengajarannya, menjadi pakar rujuk kepada guru lain terutama yang baru serta memperoleh gaji
dan elaun lebih tinggi.


“Saya melaksanakan pendekatan pengajaran mudah difahami pelajar termasuk menggubah nota
 fizik dalam bentuk lagu supaya mudah dihafal pelajar serta menghasilkan bahan P&P menggunakan
 bahan buangan dan permainan,” katanya.


Sementara itu Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Chini Timur, Pekan, Pahang,
Zolkifli Mahmood, berkata sebaik meraih jawatan itu pada 2004, beliau secara automatik
 menikmati kenaikan pangkat dari gred DG 41 kepada DG 48 yang mengambil tempoh
 empat tahun lagi perkhidmatan jika terus berkhidmat sebagai guru biasa.


Beliau berpendapat, cabaran menjawat Guru Cemerlang perlu disambut baik guru sebagai peluang
 terbaik membangunkan modal insan di kalangan pelajar menerusi tugas seperti ketua panitia,
 menganggotai jawatan kuasa kurikulum serta jawatan kuasa perancangan strategik sekolah.


“Persepsi negatif bahawa tugas Guru Cemerlang membebankan perlu dielakkan, sebaliknya guru
 berjawatan ini perlu menganggapnya sebagai kewajipan dan peluang menimba ilmu serta kemahiran
 bagi meningkatkan profesionalisme dan potensi diri,” katanya.


Berita Harian Online: 20 Oktober 2008

No comments:

Post a Comment