Saturday, November 10, 2012

Dato' Bahaman Pahlawan Pahang


Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan

Latar Belakang Ringkas.
Nama asal Dato’ Bahaman adalah Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh. Bapanya ialah Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Riau. Ibunya pula ialah Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Walaupun beliau dilahirkan di Rantau Panjang iaitu sebuah kampung di Bentong, beliau banyak menghabiskan masa di Pekan kerana berkhidmat dengan Bendahara Ali iaitu ayahanda kepada Sultan Ahmad.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menjadi Sultan Pahang, Dato’ Bahaman dilantik sebagai pembesar berdasarkan jasa bakti beliau kepada tanah air. Kehandalannya dalam ilmu persilatan tidak perlu disebut kerana memang telah diakui ramai.
Menentang British.
Perlantikan John Pickeragill Rodger dilantik sebagai Residen yang pertama di Pahang pada 1888 menandakan bermulanya campurtangan secara rasmi British dalam hal-hal pentadbiran di negeri tersebut. Dikatakan pada masa itu Sultan Ahmad terpaksa menerima
 campur tangan British baginda merasa terhutang budi dengan pihak British yang telah
membantu menghadapi pemberontakan dari adindanya sendiri. Dengan campur tangan
 ini, secara tidak langsung Temerloh menerima pengaruh British. J.P Rodger telah melantik
beberapa orang pegawai British untuk membantunya mentadbir jajahan-jajahan.
Pegawai-pegawai ini juga telah berfungsi sebagai Pemungut Hasil (collector) dan
Hakim (magistrate).

Di jajahan Temerloh, E.A. Wise telah dilantik sebagai pentadbir British yang pertama.
 Banyak perubahan telah dibuat untuk memudahkan pentadbiran, antaranya ialah
 pengenalan system pentadbiran berasaskan penghulu pada sekitar tahun 1887.
Walau bagaimanapun, penghulu-penghulu ini tidak mempunyai kuasa yang luas
 kerana ia tertakluk di bawah kekuasaan Pegawai Daerah. Peraturan-peraturan
baru yang diperkenalkan telah mencabar kewibawaan kepimpinan tradisional
 di Pahang.  Peranan Raja dan pembesar-pembesar negeri dengan sendirinya
 telah berubah. Pembesar yang selama ini begitu berkuasa di setiap jajahan termasuk
dalam soal percukaian tidak lagi berhak tanpa izin pihak British. Inilah punca tercetusnya
 Perang Semantan.
Pembesar Semantan ketika itu ialah Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan. Beliaulah
 yang memimpin pemberontak menentang British di Semantan menzahirkan rasa tidak
 puashati orang-orang Melayu. Sebenarnya ketegangan di antara Dato’ Bahaman dengan
 pihak British bermula pada 1890 tetapi mencapai kemuncak pada 1891. Pada bulan
 Disember 1890, Dato’ Bahaman telah menyatakan kemarahannya apabila Pegawai
Jajahan Temerloh, E.A.Wise dikatakan mahu mendirikan sebuah balai polis di Lubuk
Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato’ Bahaman, tanpa terlebih
 dahulu berunding dengan beliau.
Apabila Hugh Clifford, iaitu pemangku Residen British Pahang ketika itu mengetahui hal
 tersebut, beliau telah menghasut baginda Sultan dan baginda kemudiannya memanggil
 Dato’ Bahaman supaya datang ke Pekan (pusat pentadbiran ketika itu), agar siasatan
 dapat dijalankan. Dato’ Bahaman yang memahami “jarum” yang sedang dimainkan
 oleh British, membuat keputusan tidak pergi ke Pekan. Ekoran daripada itu Sultan telah
 mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai
 Orang Kaya Semantan. Situasi ini menyebabkan Dato’ Bahaman  dan pengikut-pengikutnya
 menyerang hendap C.E.M Desborough rombongannya pada 15 Disember 1891 ketika
 sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan kerana Dato’ Bahaman
menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Serangan mengejutkan itu
memaksa Desborough melarikan diri ke Bandar Temerloh.
Siri Pertempuran
Pada Oktober 1891, British telah menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman di Sungai
 Semantan dan dibawa ke rumah pasong Lubuk Terua untuk diadili dan dihukum. Pihak
 Inggeris menuduh Dato’ Bahaman menyuruh ketiga-tiga orang itu mencuri hasil hutan
 tanpa kebenaran dan memerintahkan Dato’ Bahaman ditangkap dan dihukum.
Salah seorang pengikut Dato’ Bahaman yang telah ditangkap berjaya melepaskan
 diri dan memberitahu Dato’ Bahaman tentang rancangan jahat Inggeris. Dato’ Bahaman
 bertindak menyerang pasukan British yang membawa 2 pengikutnya ke rumah pasong.
Melihat perkembangan yang berlaku di Semantan, pada 21 Disember 1891, Brtish telah
 menghantar sepasukan askar yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud, untuk
 menyerang Dato’ Bahaman yang sedang bertahan di Kampung Kelubi. Askar British telah
tewas dalam pertempuran di situ.
Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya
 dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer
telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan
orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kampung
Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh.
Pihak British yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur
dan meminta bantuan dari Singapura.
Pada Januari 1892, pihak British telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan
 kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan”
 telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140
 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang),
 Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui
kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk
 Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda
 yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat
akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir.
 Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan
 Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak British kalah dan
Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari
Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman
 terhadap British.
Pada Mei 1982, British telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur
 ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan
 semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang British. Pada 14 Jun 1894,
 Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama
100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan British yang diketuai oleh Jeneral Walker
 menyerang kumpulan penentang British yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah,
 Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang British di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen British di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1995 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1996, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak British menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.
Kesudahan perjuangan
Semasa berada di Bunut Payung Kelantan, Dato Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela dan Mat Kelubi membuat satu pengisytiharan persetiaan memberitahu bahawa mereka telah meninggal dunia.
Percubaan membunuh Dato’ Bahaman dan pengikutnya berlaku di Kuala Lebir, dekat Kota Bharu pada tahu 1896. Satu jamuan makan serabai dan bubur jagung muda telah diadakan oleh orang besar adik beradik iaitu Wan Ngah, Wan Nik, Dato’ Lela dan orang besar Lebir. Seramai 15 orang termasuk 8 orang besar Kelantan dan Siam serta 7 orang pejuang Pahang. Kuih Serabai, bubur jagung muda dan air minuman yang dijamukan telah dibubuh racun. Mat Lela telah melarang Dato’ Bahaman dan kawan-kawannya dari menjamah hidangan yang beracun tersebut. Akhirnya, pembesar Kelantan dan Siam yang khianat memohon maaf dan mengakui kesalahan mereka.
Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kampung Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, di mana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).
Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kampung Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kampung Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kampung Aur Rompin, Tanjung Medang, Kampung pasir Panjang, Kampung Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kampung Peramu sehingga kematiannya.

No comments:

Post a Comment