Friday, November 9, 2012

Perigi Sejarah Mat Kilau



Perigi Sejarah Mat Kilau


Berdasarkan fakta sejarah, Perigi Sejarah Mat Kilau ini telah digali oleh salah seorang Pejuang Kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Mat Kilau bin Imam Rasu bersama-sama pengikutnya disekitar tahun 1890an. Perigi ini digunakan sebagai sumber air bagi penduduk setempat termasuklah Mat Kilau dan ayahndanya Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah yang merupakan anak jati kampung ini. Perigi ini juga terkenal ke seluruh kampung di kawasan Mukim Budu seperti Kg Napal, Kg Kipas, Kg Terap, Kg Jerening hingga menjangkau ke Kg Chat, Kg Tualang Padang dan Kg Peruang.

Perigi ini telah menjadi saksi kepada kerakusan pihak British serta semangat perjuangan Mat Kilau bin Imam Rasu dan pengikutnya dalam mempertahankan Mukim Budu dan Daerah Lipis. Kawasan ini serta kawasan sekitarnya merupakan tapak peperangan di antara Mat Kilau dengan askar-askar Sikh di bawah pimpinan Colonel Walker dan Hugh Clifford. Peristiwa berdarah itu menyebabkan Kampung Budu musnah, apabila rumah-rumah dibakar serta binatang ternakan dibunuh. Rentetan dari penyerangan tersebut seluruh penduduk kampung telah melarikan diri ke Bukit Raya (Bukit Tacing).

Walaupun demikian, perigi ini tetap wujud sejak zaman berzaman dan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya:

a. Perigi ini tidak pernah kering walaupun di musim kemarau kerana terdapat lima buah mata air yang berpunca dari Bukit Gong dan Bukit Raya di dalam perigi ini.

b. Menjadi sumber air minuman, mandian dan kegunaan seharian bagi kanak-kanak sekolah yang berulang alik pada zaman dahulu, iaitu dari Sekolah Kebangsaan Budu ke kampung disekitarnya.

c. Air perigi ini berkhasiat untuk diminum apabila mengalami masalah terlekat tulang ikan. (Jangan bergantung dengan air perigi ini, tetapi hendaklah bergantung hati sepenuhnya dengan Allah SWT).

d. Walaupun fungsi Perigi Mat Kilau amat minima pada masa kini, namun penduduk setempat tetap meneruskan usaha-usaha menaiktaraf khazanah yang penuh bersejarah ini kerana ia sentiasa menjadi tumpuan dan masih boleh digunapakai sehingga hari ini.

Rujukan:

Jang Aisjah Mutalib. Pemberontakan Pahang 1891-1895. Kota Baharu:
Pustaka Aman, 1972
Kalthum Jeram. Hikayat Pahang,. Kuala Lumpur:
Fajar Bakti, 1986

No comments:

Post a Comment