Sunday, May 4, 2014

Maahad Tahfiz Negeri Pahang Sekolah Terbaik SPM 2013

Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2013

Pada 20 Mac 2014 (Khamis) yang lepas, telah berlangsungnya Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2013 dan Taklimat Hala Tuju Pelajar Lepasan SPM 2013. Majlis ini telah diadakan di Dewan Auditorium Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Seawal jam 10.00 pagi, kelihatan para pelajar dan ibu bapa sudah memenuhi perkarangan sekolah. Seterusnya para ibu bapa dan pelajar SPM 2013 dijemput memenuhi dewan MTNP. Semua warga MTNP termasuk para guru, staf-staf, pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5, dan pelajar diploma memenuhi dewan bagi meraikan majlis tersebut.

Tepat jam 11.30 pagi, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ustaz Mohd Sukri b Che Mat selaku pengacara majlis. Seterusnya para hadirin dijemput berdiri bagi menyanyikan lagu Negaraku, Negeri Pahang dan lagu MTNP. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa bagi memberkati majlis.

Pada pukul 11.45 pagi, Tuan Haji Abdullah b. Ismail selaku Pengurus Akademik MTNP telah memberikan ucapan sekaligus memberi semangat dan inspirasi kepada calon pelajar SPM 2014 yang bakal menduduki SPM pada tahun ini supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan.

Acara kemuncak program iaitu pengumuman keputusan SPM 2013 telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dato’ Hj. Zulkifle Bin Hj. Ali Al-Hafiz. Seramai 34 calon pelajar SPM 2013 telah mendapat keputusan yang membanggakan MTNP. MTNP juga muncul sebagai sekolah terbaik di Negeri Pahang dalam SPM 2013 dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.45.

Seterusnya para pelajar SPM 2013 diraikan dengan penyampaian sijil dan penyampaian hadiah oleh Dato’ Hj. Zulkifle Bin Hj. Ali Al-Hafiz.

Pada pukul 12.30 tengah hari, majlis diteruskan dengan taklimat penajaan dan hala tuju selepas SPM oleh Puan Safwati Bt. Ahmad selaku Penolong Pengurus Bantuan Pendidikan Yayasan Pahang. Taklimat ini bertujuan supaya para pelajar lebih jelas dengan pemilihan bidang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Selepas itu para jemputan dijemput untuk menjamu selera sebelum majlis berakhir pada pukul 2.00 petang.
Coretan sepanjang program
Pembukaan dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa
     
Ucapan oleh Pengurus Akademik, Tuan Haji Abdullah Ismail dan Pengumuman keputusan SPM oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dato' Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz
  
Seterusnya penyampaian sijil oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Dato' Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz
  
Taklimat penajaan dan hala tuju selepas SPM oleh Puan Safwati Bt. Ahmad selaku Penolong Pengurus Bantuan Pendidikan Yayasan Pahang
Bergambar kenangan
  
Keratan akhbar

No comments:

Post a Comment