Sunday, May 2, 2010

Rahsia Cemerlang Add Mat.Bekas Guru Pakar Add Mat Sekarang Menjawat Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang

Seksanya Belajar Matematik Dan Matematik Tambahan Tingkatan Empat

Tingkatan 4 Sains 4
Awal Januari tahun 1970, saya meneruskan pelajaran ke tingkatan empat aliran sains di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Kuantan. Tingkatan empat sains ada lima kelas semuanya. Kedudukan kelas ditentukan mengikut keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya ditempatkan di kelas 4 Sains 4. Sedih juga rasanya kerana ditempatkan di kelas ini. Apa tidaknya hanya saya seorang sahaja dari SMK Maran ditempatkan di kelas ini. Rakan-rakan saya yang lain berjaya ditempatkan di kelas 4 Sains 1, 4 Sains 2 dan 4 Sains 3. Alangkah sunyinya berada di kelas ini. Setelah saya renungkan memang patut saya diletakkan di kelas 4 sains 4. Penempatan berdasarkan pencapaian Matematik dan Sains. Saya memperolehi 25 aggriget, Matematik I dapat C4, Matematik II dapat C6 dan Sains dapat C6. Bayangkanlah ada ramai pelajar yang lebih cemerlang daripada saya. Bilangan mereka dianggarkan 100 orang. Kelas 4 Sains 1 memang terdiri daripada “top student” negeri Pahang. Hanya seorang sahaja wakil SMK Maran yang berjaya masuk ke kelas 4 Sains 1. Beliau ialah Kamarudin Taib. Dia ni memang jaguh semasa di Maran dahulu. Senarai buku teks tingkatan empat diedarkan semasa pendaftaran tersebut. Saya sangat terkejut kerana buku teks bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi semuanya dalam Bahasa Inggeris. Harganya pula sangat mahal. Pada waktu itu belum ada Skim Pinjaman Buku Teks. Semuanya mesti beli sendiri. Nampaknya ayah saya terpaksalah menoreh getah terlebih dahulu untuk menyediakan wang yang banyak bagi membeli buku-buku tersebut. Saya bertanya dalam hati, “Boleh ke faham baca buku-buku itu?”. Buku Matematik Tambahan bertajuk “ Elementary Analysis” karangan J.Poker dan Dakin. Seingat saya, jarang sekali saya membuka buku tersebut. Saya belajar hanya berdasarkan apa yang diberi oleh guru sahaja.


Belajar Matematik Tambahan
Kisah Matematik Tambahan ( MT ) Inilah cabaran yang paling hebat. Guru yang mengajar diimport dari Indonesia. Tidak ada ke guru Malaysia yang layak? Rasanya dalam tahun itu tidak kurang tiga kali bertukar guru. Mula-mula bapak Rebo Shiswojo, lepas itu bapak Panggabean dan akhir sekali ialah bapak Wirantho. Semuanya sama sahaja. Sangat membinggungkan. Habis semua pelajar tidak faham, tetapi tiada seorang pun yang berani bertanya. Masa guru MT mengajar , ada yang tidak beri perhatian dan mengganggu kawan. Nampak sangat mereka ini tidak tahu tanggugjawab masing-masing. Belajar tidak faham tetapi tidak berani bertanya pula. Habislah lingkup. Guru MT selalu sangat sebut perkataan yang pelik. Kelas menjadi riuh rendah apabila terdengar perkataan yang pelik itu. Antara perkataan ganjil yang kami terdengar seperti “ shahwat” sebenarnya cikgu maksudkan pesawat iaitu kapal terbang. Bapak Rebo Shiswhojo menjadi serba salah apabila kami semua ketawakannya. Sepanjang satu tahun di tingkatan empat buku Elementry Analysis tidak digunakan. Saya selalu tengok guru MT bawa buku teks Indonesia. Oleh itu selalulah kami terdengar istilah yang pelik itu. Dalam masa satu tahun saya tidak pernah bertanya guru walau pun tidak faham. Bagi saya kawan-kawan kelas 4 sains 2 seperti Alwi, Fauzi dari Maran dan Razali Omar dari Chenor menjadi tempat rujukan. Saya lebih selesa bertanya mereka. Tetapi ada juga masalahnya kerana ada kalanya mereka juga tidak tahu. Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan empat saya lulus kedua-dua pelajaran Matematik itu. Saya mendapat 47% bagi Matematik Awalan dan 49% bagi Matematik Tambahan. Walau pun pencapaian hanya pada tahap P7, saya kira pencapaian itu OKlah. Apa tidaknya, hanya saya seorang sahaja dalam kelas 4 Sains 4 yang lulus kedua-dua pelajaran Matematik. Lebih seronok lagi saya mendapat tempat ketiga dalam kelas ini. Satu kedudukan yang tidak pernah termimpi sebelum ini.

Melompat kelas
Cikgu kata senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun. Saya sangat berharap dapat kedudukan yang lebih baik. Kami menunggu dengan penuh debaran. Pada suatu pagi ramai pelajar tingkatan empat berkerumun membaca sesuatu yang ditampalkan di papan kenyataan. Saya pun ikut serta. Rupa-rupanya mereka sedang melihat senarai nama pelajar tingkatan lima tahun hadapan. Saya lihat senarai nama tingkatan 5 Sains 1 dari awal hingga akhir namun tiada tercatat nama saya. Saya sungguh berdebar. Lepas itu saya lihat pula senarai nama pelajar tingkatan 5 Sains 2. Puas saya turuti dari awal hinggalah ketiga akhir baru nampak nama saya. Syukurlah dapat lompat dua mata tangga. Rosnah, Zaimun dan saya sahaja dari kelas 4 Sains 4 yang berjaya melompat ke kelas 5 Sains 2. Yang lain ikut nasiblah bertaburan dari kelas 5 Sains 3 hingga ke kelas 5 Sains 5. Nampaknya saya terpaksa berpisah dengan rakan-rakan sekelas dan bersaing pula dengan rakan-rakan baru. Saya dapati dalam senarai kelas 5 Sains 2 itu tercatat nama Lotfi, Arshad, Wan Zahari, Saari dan Aziz. Mereka semua itu adalah rakan baik semasa di SMK Chenor dan SMK Maran. Saya berazam hendak belajar bersungguh-sungguh lagi bila naik tingkatan lima nanti. Pastinya saingan menjadi lebih sengit lagi. Walau bagaimana pun kami semua akan bercuti panjang selama tujuh minggu terlebih dahulu.

Rumusan
Semangat bapa dalam menyekolahkan anak sangat penting. Bapa yang sedar pentingnya pelajaran akan berusaha menyediakan keperluan buku dan alat persekolahan anaknya. Bapa juga perlu mengenali guru anaknya, dapatkan maklumat tentang anak daripada gurunya.

Peranan guru sangat penting dan paling utama. Guru perlu mempraktikkan pengajaran yang boleh menimbulkan minat belajar di kalangan muridnya. Guru perlu ada cara untuk mengesan dengan cepat tahap kefahaman muridnya, misalnya memeriksa hasil kerja, menyoal dan mengadakan ujian. Gurulah sebenarnya yang mencetuskan minat belajar murid. Murid pada peringat ini belum sedar akan tanggungjawab kepentingan mencari ilmu.

Pengetua adalah perancang utama untuk mencetuskan motivasi kepada guru di sekolahnya.


Saya masih menyimpan kertas peperiksaan semasa tingkatan empat. Lihatlah nama, tajuk , markah dan tarikhnya. Pada waktu itu Matematik dipanggil Ilmu Hisab. Saya Berjaya memperolehi 47%, cukup makan sahaja.

No comments:

Post a Comment