Tragedi Oktober 2008
Jam dinding bilik guru menunjukkan pukul 4.30 petang. Aku menyusun kembali buku-buku dan kertas yang berselerakkan di atas mejaku. Memang telah menjadi kebiasaan aku berbuat demikian setiap hari sebelum pulang ke rumah. Selepas memastikan meja kemas dan tersusun rapi, aku mencapai beg kerja yang sarat berisi buku latihan pelajar dan terus berjalan menuju ke kereta.
Aku menekan punat radio, lagu Tragedi Oktober sedang berkumandang. Aku cuba menghayati senikata lagu itu,. Tajuk lagu tersebut telah mengingatkan aku pada suatu memori sedih ….. Tragedi Oktober 2008.
Tanggal 10 oktober, 12.36 tengahari sewaktu membaca akhbar di ruang tamu aku menerima suatu mesej
- Assalamualaikum cikgu. Sedang buat apa?, cikgu sihat?. Mesej dari pelajarku Fazirul yang kini sedang mengikuti kursus di Shah Alam untuk persediaan ke Jepun. Fazirul memang kerap menghubungi aku bertanya khabar
- Alhamdulillah, cikgu sihat., terima kasih. Fazirul di mana? sihat?. Balasku
- Saya ada di rumah, saya sakit cikgu. Dua hari lepas saya telah menjalani Ujian Imbasan CT dan MRI Ada ketumbuhan dalam kepala saya. Ketumbuhan itu di luar otak tetapi telah menolak otak saya. Minggu depan saya akan menjalani rawatan lanjutan di Hospital Kuala Lumpur.
Terpaku aku menatap mesej itu. Aku baca berulang kali., seperti tidak mahu percaya pada apa yang aku baca.
- Fazirul jangan begini, tolong jangan bergurau dengan cikgu .
Perasaanku cemas menunggu jawapan daripada Fazirul. Aku amat berharap agar Fazirul hanya bergurau.
- Cikgu jangan sedih dan menangis, mesti kuat semangat seperti saya. Apa-apa maklumat lanjut saya akan maklumkan nanti. Assalamualaikum
Aku terduduk kaku. Nafasku seakan terhenti seketika. Air jernih mula mengenang di kelopak mata. Agak lama aku begitu, namun pesanan dari Fazirul tadi telah menguatkan semangatku. Aku segra menghubungi Cikgu Latipah, guru kelasnya semasa di tingkatan lima. Cikgu Latipah, begitu terperanjat., kami sama-sama sebak.
Malam itu begitu sukar bagiku memejamkan mata. Pelbagai persoalan bermain di minda. Mampukah dia menerima semua ini? Mampukah dia bertahan?. Mengapa nasibnya begini?. Namun aku akur pada ketentuan Allah yang mengetahui dan menentukan segalanya.
Lamunanku berterusan “ Berikut saya bacakan nama-nama pelajar yang telah terpilih sebagai pembimbing bagi mata pelajaran Matematik Tambahan. Ada seramai sepuluh orang semuanya, Aidil, Amal Safwan, Fazirul, Nazmi, Khaliliah, Azri, Zaidi, Iqbal , Izzati dan Hazirah. Tahniah dan saya berharap kamu semua dapat menjadi pembimbing yang berkualiti Sila berdiri semuanya dan yang lain berikan tepukan”.
Fazirul, pelajar yang berkulit cerah, tinggi, memiliki rambut dan kening yang lebat adalah merupakan anak bongsu Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa sekolahku. Perubahan sikap Fazirul begitu ketara selepas itu. Dia memberikan sepenuh tumpuan sewaktu pengajaran yang akhirnya terpilih sebagai ahli Kelab Elit yang menjadi impian ramai pelajar lain.
Paling ketara, Fazirul amat ikhlas membimbing rakan. Bakat kepimpinannya begitu terserlah. Dia berusaha memastikan rakan yang dibimbingnya benar-benar faham. Berkat usahanya serta doa daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan, Fazirul telah membuat kejutan dalam Peperiksaan SPM 2007 dengan mendapat 10A.
“Fazirul, apa cita-cita awak?” tanyaku sewaktu jamuan akhir kelas. “ Saya nak jadi Jurutera litar F1 “, balasnya dengan wajah ceria. Kami berbual agak lama. Dari perbualan itu aku merasakan Fazirul adalah seorang remaja yang bercita-cita tinggi, berjiwa besar dan mempunyai wawasan dalam hidupnya. Di sudut hati aku berdoa agar Fazirul mendapat apa yang diimpikan itu. Selang dua hari kemudiannya aku menerima lagi mesej dari Fazirul.
- Cikgu, doktor dah sahkan kanser tahap 4. Ia terlalu besar dan ganas.Telah mula merebak sedikit ke tulang belakang. Isnin depan saya masuk wad dan akan menjalani rawatan kimoterapi setiap hari.
Sekali lagi aku terpaku. Aku cuba mententeramkan hati dan perasaan yang tidak menentu. Aku beristighfar berkali-kali sehingga perasaanku kembali reda. Aku membalas mesej.
- Fazirul ingatlah pada kekuasaan Allah yang pengasih lagi penyayang. Hanya insan yang mampu dan tabah akan diuji sehebat ini. Semoga Allah akan menitiskan kasih sayang dan belas kasihan sepanjang Fazirul menjalani rawatan nanti. Tanpa berlengah aku terus memaklumkan perkara itu kepada pengetua, guru penolong kanan, warden dan guru-guru yang lain di sekolah.
Pada 14 Oktober, guru penolong kanan memaklumkan yang aku di kehendaki menghadiri mesyuarat Penyediaan Takwim 2009 di Port Dickson. Ramai guru lain juga turut terlibat. Justeru kami merancang untuk melawat Fazirul sebelum mengadiri kursus dan sebelum dia pergi menjalani rawatan ke Hospital Kuala Lumpur.
“Saya risau, apakah dia mampu bertahan dengan kesan sampingan dari rawatan kimoterapi itu”, suaraku semasa kami bersarapan pagi di kantin. “Dia akan diberi suntikan yang dijangka mampu membunuh sel kanser namun pada masa yang sama ia turut membunuh sel yang lain. Kesan sampingannya begitu dahsyat “, sampuk rakanku. Mendengar itu hatiku menjadi begitu risau.
“ Selalunya rambut akan gugur, cirit-birit, muntah dan kulit akan kelihatan seperti terbakar malah ada yang tidak sempat menghabiskan rawatan itu ”, kata rakanku yang lain. “ Wah, begitu menakutkan ! “ , bisik hatiku.
Petang itu kami pergi ke rumah Fazirul di Bukit Cedang. Kehadiran kami disambut mesra oleh kedua ibu bapanya. “ Fazirul di atas, dia baru saja naik mandi, nanti saya panggilkan”, jelas ibunya.
Selang beberapa minit kemudian Fazirul pun muncul. Alanglah terperanjantnya aku melihat Fazirul. Seperti tidak percaya jejaka segak yang dahulunya sentiasa ceria kini kelihatan tidak bermaya. Badannya begitu kurus dan mukanya cengkung . Aku hampir menitiskan air mata memandangnya namun aku dapat mengawalnya.
Fazirul duduk di atas kerusi dengan kedudukan menyerong. Kami difahamkan yang berat badannya telah turun sebanyak 15 kilogram dalam tempoh 2 bulan, manakala penglihatan mata sebelah kanannya tidak jelas. Dia hanya menggunakan mata kirinya sahaja untuk melihat.
Kami berbual panjang. Ibu bapanya memaklumkan bahawa selain daripada perubatan moden, mereka juga berusaha dengan cara perubatan traditional. Sekali sekala ibunya menitiskan air mata. Suasana begitu menyayat hati.
Sebelum beredar, Aku menghulurkan sedikit sumbangan daripada Persatuan Ibu bapa sekolah dan tidak lupa juga kami berikan kata perangsang kepada Fazirul dan kedua ibu bapanya. Kami berpelukkan dengan ibu Fazirul . Aku menatap wajah Fazirul dan memohon izin dari ibunya untuk memegang pipinya. Rasa kasih dan perasaan keibuan menyelinap dalam jiwaku.
Sekembali dari rumah Fazirul aku terus menghantar masej kepada rakan sekelasnya agar mereka meluangkan masa untuk datang menziarah Fazirul. Mereka akur dengan permintaanku.
Sepanjang berkursus aku dilanda keresahan memikirkan keadaan Fazirul yang sedang menjalani rawatan kimoterapi. Aku membaca kembali mesej yang dihantar oleh Fazirul pada awal paginya.
- Cikgu, saya ditempatkan di Klinik Radioterapi , Tingkat 3, Wad 3C bilik nombor 5..
Aku cuba menghubungi Fazirul dan ayahnya, namun tiada balasan. Namun pada sebelah malamnya aku menerima mesej daripada bapa Fazirul.
- Hari ini Fazirul terima rawatan sebanyak 6 botol kimo , 2 botol air dan 1 botol antibiotik. Dia muntah 2 kali dan tidur keletihan sepanjang hari.
Mesej itu sungguh menyedihkan dan aku hanya mampu berdoa agar Allah meringankan penderitaan yang ditanggung oleh Fazirul.
Jarum jam telah menunjukkan pukul 3.30 pagi. Aku membuka jendela bilik penginapan,. Suasana hening dan dingin Aku lontarkan pandangan menembusi kelam malam. Bayu malam membelai wajahku. Ingatanku masih tertumpu pada Fazirul. Lantas aku mencapai pena lalu aku titipkan sebuah sajak khas untuknya.
Oh Tuhan
Apakah ini takdir darimu
Benarkah ini dugaanmu
Mungkinkah ini kasih dan cintamu
Menjelma wajah itu ..Tergiang suara itu
Hatiku didamba rindu
Tergambar segak tubuh itu
Namun kini lesu …. Layu
Perasaan dihuni sayu, pilu
Memori lalu menjengah minda
Kau yang selama ini ku kagumi
Kemesraanmu , kesungguhanmu , kerajinan dan semangatmu
Mempersona hatiku.
Alangkah indah jika dapat menemanimu
Meringankan kesedihan …menghapuskan kedukaan …
Menghilangkan kesakitanmu
Semoga ada penawar sakitmu
Seandainya itu suratan hidup buatmu
Sabarlah,redalah sayang
Doaku iringkan dalam solatku …. saban waktu
Semuga ada kesempatan untuk kita ketemu
Berbicara … berutus khabar seperti selalu
Ke mana rawan jiwa dapat dikesampingkan
Fazirul selalu dihati cikgu
Sekembalinya dari mesyuarat, aku terus memperbanyakkan sajak tersebut dan memaparkanya pada papan kenyataan setiap kelas tingkatan 5. Aku ceritakan apa yang terjadi. Mereka amat bersimpati dan ada dari kalangan mereka yang mengenali Fazirul. Aku memohon agar mereka sentiasa mendoakan Fazirul agar cepat sembuh.
- Cikgu saya dah berada di rumah. Doktor benarkan saya balik ke rumah selama seminggu sebelum menyambung rawatan semula.
Segera aku hebahkan berita itu kepada rakan guru. Dan pada hujung minggu tersebut kami sekali lagi beramai-ramai menziarahnya. Alangkah bersyukurnya bila melihat keadaan Fazirul yang bertambah sihat dan bertenaga.
Kesan keguguran rambut kelihatan tidak begitu ketara, mukanya kembali bersinar.. Namun mata kanannya masih lagi tidak dapat melihat dengan baik. Kami di maklumkan bahawa doktor akan cuba merawat matanya.
Hari-hari seterusnya aku yakin yang Fazirul akan menerima banyak lagi rawatan. Aku berdoa agar Fazirul akan sentiasa tabah serta sembuh sepenuhnya. Harapanku agar suatu ketika nanti aku berkesempatan menghantar Fazirul ke Lapangan Terbang Antara Bangsa yang akan menerbangkannya ke JEPUN.
No comments:
Post a Comment