Tuesday, January 22, 2013


Prinsip itik berenang bagi pelajar cemerlang

Posted by Osman Affan dari www.motivasibelajar.com


Adik-adik yang saya hormati sekalian, pernahkah adik-adik
 melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau tasik?
Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air dengan
 tenang dan selesa. Pergerakan mereka sangat lancar dan
 mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan dengan begitu
lembut dan indah.
Namun, tahukah kita apa yang berlaku di bawah permukaan
 air itu? Sedarkah kita yang di bawah permukaan air itu kaki itik
sedang bekerja keras mengayuh hampir ke semua arah bagi
 memastikan itik kekal timbul?
Saya baca kisah itik berenang ini di dalam buku Tuan Fadzli
 Yusof ‘Kuasa Hijrah, kuasa untuk berubah’. Di dalam buku ini,
Tuan Fadzli ada ceritakan tentang satu prinsip yang diamalkan
oleh Tuan Nizal Mohammad, pengacara TV terkenal. Menurut
Tuan Nizal, walaupun seseorang yang BERJAYA itu kita lihat
nampak tenang dan bersahaja, mereka sebenarnya sedang
bekerja keras dan bertungkus-lumus dalam usaha mereka
 mencapai kejayaan.
Kita tidak nampak usaha kerja keras mereka kerana apa
 yang kita nampak adalah di bahagian permukaan sahaja,
 sama seperti itik yang sedang berenang. Itik kelihatan
 sedang bergerak tenang di atas permukaan air tetapi
 sebenarnya di bawah permukaan air, kakinya bekerja
keras mengayuh air agar ia kekal timbul di permukaan.

Mari kita lihat prinsip ini pada pelajar cemerlang. Pernahkah
 adik-adik semua tertanya-tanya mengapa pelajar cemerlang
 kelihatan tenang sahaja. Walaupun mereka cemerlang dalam
 peperiksaan, mereka masih ada masa untuk masuk pelbagai
 persatuan, bertanding dalam aktiviti sukan dan mewakili
 sekolah dalam banyak perkara. Adakah mereka tenang
 kerana semua perkara ini MUDAH sahaja buat mereka?
SUDAH TENTU TIDAK!
Sama seperti prinsip itik berenang tadi, pelajar cemerlang
juga bekerja sangat keras untuk mencapai kejayaan.
 Walaupun mereka nampak tenang, fikiran mereka
sentiasa bekerja dan berfikir untuk mencari jalan ke arah
 kejayaan. Jika pelajar KURANG CEMERLANG rasa belajar
itu susah dan memeningkan kepala, pelajar CEMERLANG
 juga rasakan perkara yang SAMA. Bezanya, pelajar cemerlang
teruskan belajar dan bekerja keras kerana mereka tahu,
usaha mereka akan membawa mereka ke arah kejayaan.
 Mereka tidak merungut tentang susah belajar kerana
ia adalah sebahagian daripada proses mencapai kecemerlangan.
Bayangkan bagaimana kalau itik merungut setiap hari,
 “Ishhh…susahlah nak kayuh-kayuh air ni
…tenggelam sajalah senang!” :-)
Jadi adik-adik semua, ada satu perkara penting perlu kita ingat hari ini.
Jika kita rasa belajar itu susah, jika kita rasa kepala kita pening
 dan jika kita rasa hampir putus-asa untuk belajar, jangan bimbang, 
pelajar cemerlang juga rasakan perkara yang sama. Susah, 
pening dan rasa mahu putus-asa itu adalah normal, bukan
 bermaksud kita lemah. Apa yang akan membezakan kita dengan
 pelajar lain ialah walaupun kita rasa pening, susah dan mahu putus-asa,
 kita teruskan juga berusaha untuk belajar.
Saya ucapkan Selamat Berjaya buat adik-adik semua dan Selamat Berenang!

No comments:

Post a Comment